Pharmaniaga sasar jualan RM142 juta di China (Berita Harian)

Zulkarnain (tiga dari kiri) and Lim (lima dari kiri) bertukar dokumen MoU dalam satu majlis di Petaling Jaya, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin
  • 31 Oktober 2022
  • Ditulis oleh Hazwan Faisal Mohamad
  • Diterbitkan di Berita Harian

PETALING JAYA: Pharmaniaga Bhd menyasarkan untuk meraih jualan bernilai AS$30 juta (RM142 juta) di pasaran China menjelang 2025 hasil kerjasama dengan JDMAS Commerce Sdn Bhd.

Menerusi kerjasama itu, Pharmaniaga berpeluang memasarkan produk farmasi 'over the counter' (OTC) dan ubat preskripsi di platform e-dagang terbesar di China iaitu JD.Com.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata kerjasama antara Pharmaniaga dan JDMAS adalah sebahagian daripada strategi untuk menembusi pasaran China, terutamanya dalam perniagaan berkaitan produk pengguna dan kesihatan.

"Kami berhasrat untuk membina kerjasama strategik yang kukuh dan mampan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Meluaskan ke pasaran antarabangsa sentiasa menjadi salah satu matlamat strategik Pharmaniaga, dan ketika ini telah membuka jalan untuk dikenali di negara Asia Tenggara, rantau Teluk dan pasaran Eropah.

"Dengan kerjasama ini, Pharmaniaga akan mendapat akses kepada 1.412 bilion penduduk di China, dan dengan hampir 570 juta pengguna JD.Com, ia akan menjadi potensi pertumbuhan perniagaan yang besar untuk Pharmaniaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Zulkarnain memeterai perjanjian bagi pihak Pharmaniaga manakala JDMAS diwakili Pengarah Urusan, Datuk Bruce Lim.

Ia disaksikan Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique; Pengurus Negara Komersial JDMAS, Elvin Lim dan Pengarah Eksekutif JDMAS, Desmond Ng.

Melalui MoU terbabit, JDMAS akan bekerjasama dengan Pharmaniaga untuk mendaftar, mengimport, mengedar dan memasarkan produk OTC Pharmaniaga dan produk penjagaan kesihatan lain di China.

JDMAS juga akan menyokong Pharmaniaga dari segi perkhidmatan nasihat kawal selia, perdagangan komersial dan bekalan produk untuk pasaran China.

Zulkarnain berkata, untuk memulakan inisiatif itu, syarikat merancang untuk menyenaraikan produk OTC paling laris seperti Citrex Vitamin C, Citrex Gummies, Baraka Habbatus Sauda, Sweet Royale dan juga produk OTC lain di Pavilion Malaysia JD.Com menjelang Januari 2023, di samping memanfaatkan platform yang mempunyai teknologi luas disediakan oleh JD.Com serta platform lain seperti Douyin, Kwaishou dan WeChat.

"JDMAS akan bekerjasama dengan Pharmaniaga untuk merancang memasarkan produk di platform JD.Com, melalui kempen pengiklanan, tinjauan pelanggan, duta penjenamaan dan pelbagai strategi pemasaran lain," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/10/1018780/pharmaniaga-sasar-jualan-rm142-juta-di-china

Start Cross Border Ecommerce now