JDMas Commerce rakan platform Belanjawan 2021 (Berita Harian)

JDMas Commerce Rakan Platform B2021

Berita Harian (8hb Julai 2021)

Pautan: https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2021/07/837210/jdmas-commerce-rakan-platform-belanjawan-2021

KUALA LUMPUR: JDMas Commerce, pengendali stor perdana Malaysia di JD Worldwide, disenarai sebagai rakan platform Belanjawan 2021, inisiatif di bawah Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Belanjawan 2021 ataupun B2021 menampilkan dua inisiatif yang unik untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro, iaitu Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online (SMO).

Inisiatif terbabit mempunyai objektif untuk membantu perniagaan dan jenama Malaysia untuk mengguna pakai perdagangan atas talian (e-dagang) sebagai kaedah baharu untuk menjalankan perniagaan, di samping meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

JDMas telah dikenal pasti mempunyai keupayaan dan kecekapan untuk menjalankan transformasi perniagaan melalui perniagaan atas talian rentas benua secara B2C (perniagaan kepada pengguna) menerusi platform dan rangkaian JD.com, peruncit secara dalam dan luar talian terbesar di negara China dan ketiga besar di dunia.

Ia termasuk promosi dan pemasaran digital, bayaran atas talian, penghantaran muatan rentas benua, gudang dan logistik menerusi ekosistem JD di China.

JDMas Commerce dalam satu kenyataan berkata, menerusi ekosistem JD, ia secara terus membolehkan barangan jenama Malaysia untuk mendapat akses, jualan dan perkembangan yang pesat di pasaran ekonomi kedua terbesar di dunia.

"Di bawah kempen Go-eCommerce Now, syarikat Malaysia dapat menyenaraikan jenama dan barangan di Astaka Nasional Malaysia yang menjadi stor perdana di JD Worldwide dan menerima rebat sebanyak RM5,000.

"Mereka juga dapat menikmati pelbagai subsidi penjual khas dan bantuan teknikal & jualan daripada JDMas di Malaysia dan di China.

"PKS terbabit juga boleh menembusi dan mendapat akses untuk mengembangkan perniagaan dengan rebat, promosi dan baucar khas pengguna melalui kempen SMO yang akan dijalankan oleh JDMas," katanya.

Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan JDMas Commerce, Datuk Bruce Lim, berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan syarikat PKS untuk memastikan jualan rentas benua itu berjaya.

"Kami berasa bangga dan rendah diri kerana diberi amanah oleh kerajaan Malaysia untuk menampilkan jenama Malaysia yang unik untuk pasaran China menerusi platform ini.

"JDMas mensasarkan jualan RMB10 juta (RM6.4 juta) daripada kempen SMO tahun ini," katanya.

 

Start Cross Border Ecommerce now